Kenali Budaya Turki

Kenali Budaya Turki

Yazıcı-dostu sürüm

Yunus Emre Enstitüsü telah berjaya untuk menganjurkan pelbagai jenis acara dalam jangka masa yang singkat. Untuk memperkenalkan Turki sebagai negara yang kaya dengan budaya, melalui perwakilan yang serasi, adalah keutamaan Yunus Emre Enstitüsü. Aktiviti-aktiviti kami di luar negara telah dirancang untuk mempromosi kecemerlangan dan kekayaan budaya Turki.

Turkey adalah sebuah negara yang terkenal di seluruh dunia dengan sejarahnya. Sehubungan dengan tujuan kami untuk mempromosikan latar belakang yang kaya dengan mengambil inspirasi dari sejarah kami, kami juga memberi perhatian kepada perkembangan semasa dalam arena seni dan budaya. Kami berusaha untuk mempersembahkan perspektif budaya yang pelbagai dengan menggabungkan kod budaya tradisional kami dengan seni dunia moden. Penulis ulung Turki, Ahmad Hamdi Tanpınar ada menekankan tentang perlunya pembaharuan yang berterusan melalui perubahan. Setiap yang hidup terikat kepada berubah; daya hidup mereka dipengaruhi perubahan dan pembaharuan. Walaubagaimanapun, kesinambungan hanya boleh didapatkan bila perubahan menentukan perjalanannya sendiri. Ahmet Hamdi Tanpınar menjelaskan ini sebagai, “Perubahan melalui kesinambungan, kesinambungan melalui perubahan.” Tradisi dan kemodenan perlu berkerjasama agar kesinambungan budaya dapat maju tanpa gangguan.

Selari dengan ungkapan Tanpınar, Yunus Emre Enstitüsü berterusan dengan melalui perubahan, dan berubah dengan berterusan. Diilhamkan tradisi kami, kami berusaha menyampaikan kepada warga dunia moden tentang budaya kami yang sentiasa berkembang dan berubah. Dengan menyatukan Dede dengan Wagner, Yunus dengan Verlaine, dan Baki dengan Goethe, kami berusaha untuk mengekspresikan diri kami melalui sebuah komposisi yang baru. Bukan sahaja kami ingin berkongsi tentang budaya kami, kami juga bercita-cita untuk memahami dan mempelajari kekayan budaya negara lain agar kita dapat saling mengenali dengan lebih dekat dan menghasilkan komposisi yang baru bersama.

Disebabkan ini, budaya dan nilai sesebuah negara yang menjadi tuan rumah kepada institusi budaya asing adalah sesuatu yang penting bagi kami. Kami mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang membenarkan interaksi budaya antara negara dan menjalankan operasi bersama untuk menubuhkan persahabatan yang baik antara pihak tuan rumah dan tamu. Matlamat kami adalah untuk memperkenalkan diri kami, dan pada masa yang sama, mengenali yang lain.

Yunus Emre Enstitüsü ingin mempelajari dan juga memperkenalkan, bukan sahaja tokoh budaya yang membesar di Turki, tetapi juga seniman, cendikiawan dan saintis yang berhubungan dengan Turki, pada masa dahulu atau kini, dan menganjurkan acara-acara dalam konteks ini. Kami menitikberatkan kolaborasi budaya dan bekerjasama untuk menjayakan aktiviti-aktiviti. Sejujurnya, kami percaya bahawa aktiviti anjuran bersama adalah sebuah platform yang paling efektif untuk mempelajari tentang budaya masing-masing.

Matlamat kami adalah untuk mempromosikan budaya dan penemuan sains Turki ke mata dunia, dan pulang ke negara kami dengan pengalaman dari negara-negara lain. Kami memandang perkongsian budaya dan sains sebagai sesuatu yang bermanfaat dan bernilai. Ini adalah sebab kami terus ingin menyatukan Dede dengan Wagner, Yunus dengan Verlaine dan Baki dengan Goethe.