Pengenalan Mengenai Turki Kepada Pelajar-Pelajar Malaysia

10/10/2019

Pada 8 Oktober 2019 yang lalu, program pengenalan dasar luar Turki, budaya Turki dan aktiviti-aktiviti Yunus Emre Institute telah diadakan untuk pelajar-pelajar Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu, Malaysia.

Cik Elif Burcu Gündoğdu yang merupakan Setiausaha Kedua di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur, telah hadir sebagai wakil dari Kedutaan Turki. Beliau telah memberikan perkongsian mengenai politik luar negeri Turki. Cik Elif juga telah berbicara mengenai hubungan antara Malaysia dan Turki yang semakin hari semakin rapat dan meluas dalam pelbagai aspek. Beliau juga telah berkongsi ungkapan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pandangan beliau terhadap Turki setelah pulang dari lawatan rasmi beliau ke Turki pada 24-27 Julai 2019 yang lalu kepada para tetamu yang hadir.

Wakil dari Pejabat Pelancongan Turki, Puan Begüm Soysal juga turut hadir bersama kami dan telah berkongsi mengenai sejarah Turki, keindahan alam semula jadi yang ada di Turki, aneka jenis makanan Turki dan budaya-budaya Turki kepada para tetamu yang hadir.

Kemudian wakil dari Kuala Lumpur Yunus Emre Enstitüsü iaitu guru bahasa Turki kami, Mohammad Ariff bin Ahmad Zainuddin telah berkongsi dengan para tetamu yang hadir mengenai pengalaman beliau semasa belajar di Turki. Beliau juga telah berkongsi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Yunus Emre Enstitüsü dan mengatakan bahawa Bahasa Turki semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Pada penghujung program, para tetamu telah dijemput untuk menonton tayangan video mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Yunus Emre Enstitüsü. Kemudian program ini telah diakhiri dengan jamuan makanan.