Memanah Turki di Pentas Dunia: Perhentian Kuala Lumpur

Yazıcı-dostu sürüm

Sebuah siri acara bertajuk "Memanah Turki di Pentas Dunia" telah diadakan di Kuala Lumpur di bawah Projek Kemankeş. Projek ini dilancarkan secara bersama oleh Yunus Emre Institut dan Yayasan Okcular di 16 buah negara dengan tujuan untuk memperkenalkan sukan memanah Tradisional Turki ke seluruh dunia dan menarik atlet baru ke sukan tradisional ini.

Projek Kemankeş, yang telah menonjolkan aspek budaya dan sejarah memanah tradisional Turki melalui kursus latihan di 16 buah negara dan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian, telah menganjurkan sebuah siri acara bertajuk "Memanah Turki di Pentas Dunia”, yang sebelum ini diadakan di Amman dan Belgrade dan kini di Kuala Lumpur.

Sekolah Antarabangsa Idrissi, salah satu sekolah terbaik di Malaysia telah menganjurkan sebuah acara besar bertajuk "Ciptaan Zaman Kegemilangan" dan tetamu istimewa mereka tahun ini adalah dari Turki dan Sukan Memanah Turki adalah tema acara ini.

Sebagai sebuah perayaan sains dan kebudayaan, “Ciptaan Zaman Kegemilangan” mengambil sebuah pendekatan yang mengetengahkan persepsi pelajar tentang hubungan di antara budaya dan teknologi dalam dunia yang pesat berubah.  Acara ini diadakan pada 17 November 2018 dan dihadiri oleh Duta Besar Kedutaan Turki di Kuala Lumpur, Dr. Merve Safa Kavakçı dan Presiden Konfederasi Etnosport Dunia & Ahli Pengasas Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Okçular, Bilal Erdoğan.

Erdoğan menyampaikan ucapan utama di program tersebut. “Nenek moyang kita menggunakan teknologi ini untuk merobohkan tembok yang memenjara orang ke kegelapan. Hari ini, kita sepatutnya menggunakan teknologi ini untuk tujuan yang sama,” kata Erdoğan. Beliau mengatakan bahawa pemasukan memanah tradisional Turki dalam kurikulum Sekolah Antarabangsa Idrissi akan lagi merapatkan hubungan Turki dan Malaysia.

Di program tersebut, sebuah filem dokumentari pendek bertajuk "Memanah Tradisional Turki" telah disiarkan. Pameran fotografi bertajuk "Memanah Turki Kemankeş" juga telah diadakan. Tambahan, Pelajar Sekolah Antarabangsa Idrissi juga telah mempamerkan kemahiran memanah mereka. Selain itu, buku sejarawan / penulis Erkan Göksu, "Okla Yükselen Millet," yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai "The Rising Nation With Arrow", juga telah dipromosikan.

Di Malaysia, aktiviti Projek Kemankeş telah bermula pada November 2017. Sukan memanah tradisional Turki telah menarik minat yang besar dalam waktu yang singkat di negara ini. Empat pelatih dari Malaysia telah menerima latihan intensif di Yayasan Okçular di Istanbul pada sesi bulan November 2017 dan Oktober 2018. Kira-kira 50 orang menerima latihan di kursus memanah tradisional Turki yang diadakan di Institut Yunus Emre Kuala Lumpur pada Januari 2018. Dengan protokol yang ditandatangani pada 25 September 2018, "Memanah Tradisional Turki" dimasukkan dalam kurikulum Sekolah Antarabangsa Idrissi dan lebih 100 pelajar mereka telah mengambil Memanah Turki sebagai kelas elektif untuk tahun akademik 2018/2019. Dalam peringkat akhir yang diadakan pada 19 Oktober 2018, pemanah Malaysia Azharul Abdul Aziz dan Erina Emelina Ismail mendapat tempat pertama di kalangan pesaing mereka dari 16 buah negara di Pertandingan Peringkat Akhir Campuran Dunia Projek Kemankeş.

Di program "Memanah Turki di Pentas Dunia", filem-filem telah ditayangkan, dan persembahan memanah  diadakan, dan terdapat pameran fotografi dan pelancaran buku dan, pada masa yang sama, Sekolah Antarabangsa Idrissi, Yayasan Okçular dan Institut Yunus Emre menandatangani Protokol Kerjasama Projek Kemankeş. Protokol ini bertujuan untuk meningkatkan jangkauan projek dan memudahkan latihan pemanah untuk pertandingan antarabangsa. Projek Kemankeş akan menjalankan kursus latihan dan pelbagai aktiviti memanah tradisional Turki di 25 negara pada tahun 2019.